Followers

Wang aku, wang aku..wang kamu wang aku????


 Photo from Google

Pasti ada diantara kita pernah bersangka atau mengalami keadaan seperti Tajuk entry Baiti kali ini. Entry kali ini Baiti nak berkongsi pengetahuan dengan semua melalui bebrapa sumber yang Baiti dapat iaitu dari Laman Soal Jawab Agama & Dakwah. Entry kali ini bukan untuk menyalahkan kaum Adam, tetapi hanya sekadar untuk berkongsi pengetahuan. Berdosa jika kita dah tahu sesuatu perkara itu dan tidak diberitahu pada yang lain yang mungkin masih belum mengtahuinya, betul tak? Kerana perkara seperti ini akan dilalui oleh kita cuma caranya mungkin berbeza. Atau kita pernah buat tapi kita tidak sedari akan perbuatan itu, dan kemudian menjadi pertanyaan kepada diri sendiri mengenai kesalahan yang dilakukan itu adakah boleh atau tidak.

Apakah berdosa jika kita mengambil duit suami tanpa pengetahuannya?
Hukum mengambil duit suami tanpa pengetahuannya untuk tujuan perbelanjaan harian makan minum dan persekolahan anak-anak telah dibenarkan oleh Rasulullah s.a.w sendiri. Ini dapat difahami daripada satu peristiwa apabila Hindun binti Atabah isteri Abu Sufian, sahabat Rasulullah telah datang bertanya masalah yang sama kepada Baginda. Berhubung persoalan ini Rasulullah bersabda yang bermaksud: Ambillah apa yang dapat menampungmu dan anak-anakmu secukupnya. (maksud hadis).
Abu Sufian adalah seorang yang sangat kedekut dalam perbelanjaannya. Dia tidak menyediakan perbelanjaan yang cukup untuk anak dan isterinya sehingga isterinya terpaksa datang mengadu menceritakan kesempitan hidupnya kepada Rasulullah. Hadis ini diceritakan oleh Aisyah, riwayat Bukhari Muslim.
Sikap kikir ini banyak diamalkan oleh sesetengah hartawan kita hari ini tetapi mereka lebih bersikap dermawan di luar kerana inginkan kemasyhuran. Perintah Rasulullah tadi menunjukkan boleh diambil duit suami tanpa kebenarannya, sekiranya pemberian suami masih tidak dapat memenuhi keperluan isteri serta anak-anaknya.
Pengambilan ini tidak dibenarkan melebihi dari keperluan tetapi sekadar mencukupi sahaja. Kalau melebihi keperluan ia adalah haram.

Daripada hadis di atas juga banyak pengajaran yang dapat kita fahami antara lain:

Pertama: Kita boleh menceritakan tabiat buruk seseorang kepada mereka yang berkenaan dan yang berkaitan sahaja tetapi umat Islam dilarang mengumpat sesama saudara Muslim.
Kedua: Harus mendengar pengaduan buruk yang disampaikan untuk pengadilan dan mendapat kepastian sesuatu hukum.
Ketiga: Boleh mengambil untuk sekadar perbelanjaan bagi sesuatu urusan yang perlu sahaja. Sekalipun tanpa pengetahuan mereka (suami).

Pendapatan atau Harta Si Isteri.
Harta isteri adalah milik penuh isteri. Harus ia membelanjakannya mengikut kehendaknya asalkan perbelanjaan itu bukan munkar dan maksiat (jika tidak, harus suami menegahnya atas dasar kewajipan mencegah isteri dan keluarga dari melakukan munkar dan maksiat, bukan atas dasar harta itu miliknya). Begitu juga, tidak harus suami mengambil harta milik isteri melainkan dengan kerelaan dari isteri. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam; “Tidak halal harta seorang muslim yang lain melainkan dengan kerelaan hatinya” (HR Imam ad-Daruqutni dari Anas bin Malik). Dalam kitab Maratib al-Ijma’ ada ditegaskan; “Para ulamak telah sepakat menegaskan bahawa tidak halal suami bersedekah dari harta milik isterinya melainkan dengan izin isterinya” (Maratib al-Ijma’, Imam Ibnu Hazm, 1/92).

Dalam penggunaan harta, para ulamak menegaskan bahawa, suami tidak berhak menghalang isterinya yang berakal dan cerdik berbelanja dari hartanya sendiri dalam perbelanjaan yang berbentuk tukaran seperti berjual-beli, memberi upah dan sebagainya. Jika isteri tidak cerdik (yakni ada kemungkinan ia akan ditipu dalam perbelanjaannya), haruslah suami menghalangnya. Mereka (yakni para ulamak) hanya berikhtilaf dalam masalah perbelanjaan yang bukan berbentuk tukaran; iaitu sedekah, hibah/hadiah dan sebagainya (yakni adakah harus isteri memberi sedekah atau hadiah tanpa izin suami?).

Kebanyakan ulamak (merangkumi mazhab Syafi’ie, Hanbali dan Hanafi) berpendapat, tidak wajib isteri mendapat keizinan suaminya terlebih dahulu untuk bersedekah dari duitnya, yakni diharuskan ia bersedekah dari duitnya sendiri tanpa wajib memohon keizinan suaminya terlebih dahulu atau tanpa memberitahunya. Mereka berdalilkan –antaranya- hadis yang menceritakan; Isteri Nabi iaitu Maimunah binti al-Harith r.a. membebaskan seorang hamba perempuannya tanpa memberitahu Nabi s.a.w.. Apabila tiba giliran Nabi bersamanya, ia berkata kepada Nabi; “Tidakkah kamu perasan aku telah membebaskan hamba perempuanku?”. Nabi berkata; “Benarkah”. Maimunah menjawab; “Ya”. Nabi lalu berkata kepadanya; “Jika kamu menghadiahkan hamba itu kepada ibu-ibu saudara kamu nescaya pahalanya lebih besar lagi”. (HR al-Bukhari dan Muslim). Berdasarkan hadis ini, jumhur ulamak menyimpulkan; harus isteri berderma atau berbuat kebajikan dari duitnya sendiri tanpa keizinan suaminya. Jika perkara tersebut diharamkan tentu Nabi akan melarang isterinya (Maimunah) dari membebaskan hamba tersebut tanpa pengetahuannya. Oleh kerana tiada larangan dari baginda, itu menunjukkan bahawa perbuatan Maimunah itu adalah harus di sisi Syarak

Soalan
1. Bolehkah suami menggunakan wang isterinya (dlm jumlah yg banyak) hanya utk membayar hutang2nya dan membantu keluarganya di kg?
2. Apakah hukum isteri menyembunyikan jumlah wang simpanan dari pengetahuan suami krn dikuatiri akan diminta oleh suami?
3. Bolehkah isteri menyimpan wang secara senyap utk tujuan menunaikan haji?
Syukran jazilan atas jawapan yg diberikan
Merujuk soalan di atas;
1. Suami tidak harus mengambil wang/harta milik isteri untuk membayar hutangnya atau untuk perbelanjaan lain melainkan dengan kerelaan isteri. Adalah harus isteri menghalang suami dari mengambil harta miliknya dan itu tidak dianggap nusyuz.
2. Harta isteri adalah miliknya. Ia berhak menyembunyikannya dari diketahui oleh orang lain –termasuk suami- apatahlagi jika ada maslahah untuk ia berbuat demikian.
3. Menyimpan untuk mengerjakan haji tanpa diketahui suami juga harus jika wang simpanan itu datang dari milik isteri.

Apa yang dinyatakan di atas adalah dari segi keharusan. Adapun yang sebaiknya –untuk menjaga keharmonian rumahtangga- isteri hendaklah seboleh-bolehnya tidak membelakangi suami dalam segala hal kecuali jika tidak dalam dapat dielakkan. Terdapat hadis memceritakan; Rasulullah pernah ditanya; “Apakah ciri-ciri isteri terbaik?”. Baginda menjawab; “Isteri yang menggembirakan suami apabila ia melihatnya, yang mentaati suaminya apabila ia menyuruhnya dan ia tidak menyanggahi suaminya pada dirinya dan hartanya” (HR Imam Ahmad, an-Nasai dan al-Hakim dari Abu Hurairah. Menurut as-Suyuti; hadis ini soheh. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 4045).

zikir pelembut hati ini agar hati suami tu lembut sikit nak beri nafkah:

“Ya Aziz Ya Jabbar Ya Mutakabbir”

Selepas membacanya beberapa kali, hembuskan ke atas ubun-ubun suami sekira-kira suami tidak perasan. Atau isteri membacanya waktu suami tidur nyenyak. Kalau suami terjaga, buat-buatlah cium dahinya. Selain itu hembuskanlah di tapak tangan dan letakkan di hati (dada) suami. Mudah-mudahan Allah lembutkan hatinya. Bila hati sudah lembut, mudahlah dibuka kunci perhubungan atau pintu perbincangan.
Selain daripada itu amalkan doa ini: “Ya Allah, lembutkanlah hatinya (suami) sepertimana Engkau lembutkan besi”. Demikian doa suami kedekut yang boleh Anda amalkan.
Tahukah Anda apabila seorang suami enggan membayar nafkah untuk penggunaan keluarga, dia sudah dikira mengabaikan tanggungjawabnya sebagai suami dan ketua keluarga. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud, “Cukuplah seseorang itu dianggap berdosa apabila suami yang mensia-siakan orang yang menjadi tanggungannya.” (Hadis riwayat Abu Daud dalam Sunan Abu Daud, no. 1442)
Sumber dari Laman : PelikbinAjaib


Wallahu a'lam..

This entry was posted in . Bookmark the permalink.