Daisypath Anniversary tickers
Lilypie Fourth Birthday tickers
Lilypie Second Birthday tickers

Followers

Yahudi masuk Masjidil Aqsa

SEORANG wanita Palestin duduk di rumahnya
sebagai memprotes rancangan Israel
menempatkan penduduk Yahudi di kawasan
Sheikh Jarrah, timur Baitulmaqdis.

REMAJA Palestin melaungkan slogan anti Israel ketika

berhimpun di depan Masjid Kubah Batu bertentangan

Masjidil Aqsa, baru-baru ini.


Rejim Zionis rancang bina semula kuil di tanah suci ketiga Islam

BAITULMAQDIS: Polis Israel membenarkan 45 rakyat Israel memasuki kawasan Masjid Al-Aqsa, tanah suci ketiga Islam, dalam apa yang disifatkan rakyat Palestin sebagai satu cubaan untuk menimbulkan kemarahan ummah.

Kumpulan penduduk Yahudi terbabit melawat kawasan berkenaan sempena bulan kesembilan dalam kalendar Yahudi dipanggil 'Av', bagi memperingati kemusnahan kuil Yahudi pertama dan kedua, yang dikatakan di bawah Masjid Al-Aqsa.

Masjidil Aqsa terletak bertentangan Masjid Kubah Batu iaitu lokasi Nabi Muhammad diangkat ke langit dalam peristiwa Perjalanan Malam (Israq Mikraj).

Masjid Kubah Batu yang disebut juga sebagai Masjid Omar adalah kawasan yang disifatkan sebagai maruah rakyat Palestin.

Ia amat sensitif berikutan kumpulan pelampau Yahudi mahu memusnahkan masjid yang ada pada masa ini dan membina 'Kuil Ketiga'.

Pengarah pejabat Waqf Islam di Baitulmaqdis, Sheikh Azzam Al-Khatib berkata, polis Israel turut mengiringi penduduk Yahudi terbabit dan melindungi mereka.

Beliau memberitahu, kumpulan penduduk Yahudi itu berada dalam kumpulan antara 12 hingga 15 orang. Tiada pergaduhan meletus setakat ini.

Sabtu lalu, Azzam dipetik sebagai berkata: "Jangan harap orang Yahudi akan dapat bina kuil mereka di tanah suci al-Aqsa. Ia tidak akan berlaku. Mereka hanya bermimpi di siang hari jika menganggap orang Islam akan lepaskan masjidil Aqsa."

Kata-katanya disambut jeritan dan tepukan gemuruh beribu-ribu kanak-kanak Arab yang berada di sekitar masjid itu bagi menyambut pesta tahunan Dana Kanak-kanak Al-Aqsa.

Selasa lalu pula, kumpulan sayap kanan Israel berarak di Baitulmaqdis berhampiran kawasan al-Aqsa.

Polis menutup jalan Al-Wad bagi melindungi mereka dan memudahkan demonstrasi terbabit. Pemilik kedai Palestin juga diarahkan menutup perniagaan mereka pada 6 petang.

Ada rakyat Israel menyerang penduduk Palestin dan harta benda mereka berhampiran sekolah perempuan Silwan dekat Pintu Mughrebi yang menjadi laluan ke al-Aqsa. Enam warga Palestin cedera dalam kejadian itu.

Perkembangan di Aqsa menyusuli tindakan kerajaan Israel membuang perkataan 'bencana' atau 'al-Nakba' dalam buku teksnya yang digunakan kanak-kanak Arab.

'Al-nakba' merujuk pembentukan negara Israel pada 1948 sekali gus menandakan permulaan penjajahan Yahudi tanah Palestin.

sumber dari Berita Harian 24 July 2009

This entry was posted in . Bookmark the permalink.

One Response to Yahudi masuk Masjidil Aqsa

Unknown said...

Astarfirullahalazim....doa2kan semoga saudara2 kita di palastien sentiasa dlm kekuatan diri & iman yg diredhoi...